RANGKAIAN penjagaan diri antibakteria, Antabax dengan kerjasama rangkaian peruncit terkemuka, Giant telah melancarkan kempen kutipan derma One Heart atau Satu Hati bagi menyokong Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kempen yang berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Ogos itu menyaksikan lima peratus daripada hasil jualan Antabax di 128 buah cawangan Giant di seluruh negara disalurkan kepada yayasan berkenaan bagi menyokong program bantuan pesakitnya.
Pengurus Besar Bahagian Pemasaran, Produk Rumah dan Penjagaan Diri Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd., Francis Ng berkata, penyakit jantung memberi kesan negatif kepada ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, Antabax dan Giant berusaha untuk mengumpul dana sambil meningkatkan kesedaran umum mengenai penyakit jantung.
"Jika kami mampu membantu walau seorang pesakit untuk meneruskan hidup atau mendidik beberapa individu supaya mengubah gaya hidup mereka bagi mengurangkan risiko penyakit jantung, kempen ini sudah dianggap mencapai matlamatnya," kata beliau menerusi satu kenyataan akhbar baru-baru ini.
Penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia dengan lebih 8,000 pesakit jantung baharu dilaporkan setiap tahun. Ia juga menjadi punca kepada 35 peratus kematian yang berlaku kepada individu berumur 60 tahun ke bawah.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), pada tahun 2010, jumlah kematian akibat penyakit jantung koronari di Malaysia ialah 22,701 orang iaitu kira-kira 22.18 peratus daripada jumlah kematian di negara ini.
"Walaupun penyakit jantung telah sekian lama menjadi pembunuh nombor satu negara, namun ia boleh dicegah menerusi pendidikan. Manakala mereka yang menghidap penyakit itu boleh dibantu menerusi rawatan," kata Ng.
Pendidikan
Seiring dengan kempen tersebut, Giant bermurah hati menyediakan premis perniagaannya untuk tujuan program pendidikan dan kesedaran mengenai penyakit jantung dengan kerjasama Yayasan IJN.
Pengurus Besar Pemasaran, GCH Retail (M) Sdn. Bhd. yang mengendalikan rangkaian Giant di Malaysia, Norine Erica Majaman berkata, pihaknya berbesar hati dapat meneruskan kerjasama bersama Antabax untuk tahun keempat berturut-turut.
"Kerjasama kebajikan antara Giant dan Antabax sejak tiga tahun lalu telah berjaya mengutip sejumlah RM96,580 untuk Rumah Ilham, Rumah KIDS, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia dan Pertubuhan Pertolongan Wanita," katanya.
Difahamkan, Yayasan IJN membelanjakan lebih RM2 juta setiap tahun untuk menjalankan program bantuan pesakitnya.
Menurut Pengurus Yayasan IJN, Ritzzawati Mohd. Rosli, yayasan berkenaan bergantung hampir sepenuhnya kepada sokongan penderma bagi memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
"Kami menyeru organisasi korporat lain agar mencontohi usaha murni Antabax dan Giant. Ia dapat membantu kami di yayasan meneruskan misi membantu golongan yang kurang bernasib baik," katanya.
Dari tahun 2006 hingga 2013, Program Bantuan Pesakit yayasan tersebut telah memberi bantuan bernilai kira-kira RM19 juta kepada 797 orang pesakit jantung.
Yayasan IJN juga bernasib baik kerana mempunyai penderma yang komited sejak sekian lama dan mengalu-alukan penyertaan Antabax dan Giant dalam senarai organisasi yang menyokong usaha menangani penyakit jantung di negara ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Satu Hati bersama Antabax & Giant, sila layari laman web www.facebook/NewAntabax.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0804&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm#ixzz39WAKHSSY
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment